Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Bermula 12 Malam Ini | NescafeAis.Com


.

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Bermula 12 Malam Ini

September 23rd, 2012 2 Comments .
.

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan mula beroperasi tengah malam ini di 14 ‘lokasi maut’ bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. (KLIK SINILokasi Kamera (AES) Sistem Penguatkuasaan Automatik JPJ )

Lebih banyak kamera akan dipasang di 817 ‘lokasi maut’ dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan AES merupakan tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

“Kamera AES dipasang di ‘kawasan hitam’ atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi,” katanya.

Solah berkata orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, dan pengguna boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

“Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mereka memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukannya untuk memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman,” katanya.

Katanya papan tanda bagi lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera tersebut.

Sementara bagi lokasi kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat, ia diletakkan antara 50 hingga 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Solah berkata imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan itu akan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Menurut Solah proses semakan mengenal pasti kesalahan dan pengeluaran notis saman dibuat oleh pegawai JPJ terlatih yang ditempatkan di pusat kawalan AES.

“Jika imej yang ditangkap tidak sepadan dengan nombor pendaftaran kenderaan dalam pangkalan data JPJ, siasatan lanjut akan dijalankan. Ini bagi memastikan saman dikeluarkan mengikut undang-undang serta dapat mengelakkan saman kepada pihak yang tidak bersalah,” katanya.

Jelas beliau notis saman yang telah diproses akan dihantar kepada pemilik kenderaan dalam tempoh lima hari daripada tarikh kesalahan serta imej kenderaan yang dirakamkan.

“Bagaimanapun, jika pemilik berdaftar bukan pemandu kenderaan tersebut ketika kesalahan direkodkan, mereka boleh mengemukakan butiran pemandu terbabit kepada JPJ selepas 30 hari daripada tarikh menerima notis saman tersebut.

Katanya bagi kesalahan yang direkodkan di Perak, pemandu yang menerima notis saman AES boleh menghubungi pusat kawalan AES menerusi talian 03-78464400, manakala bagi kesalahan yang direkodkan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mereka boleh menghubungi talian 03-7628 8268. – Bernama

 

TINGGALKAN KOMEN DI BAWAH DAN JANGAN LUPA SHARE:

2 Comments to “Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Bermula 12 Malam Ini”

  1. [...] Perkara itu yang saya maksudkan adalah AUTOMATED ENFORCEMENT SYSTEM (AES). [...]

  2. saman says:

    Dah wat salah terima je la saman..aku slalu drive kete kat heway plg slow pun bawa 160km/j..tiap kali kena saman aku teima je..wtpe nk bising dh mmg salah kita..ape daa @*%$# betul la kau ni.

Leave your comment here: